Friday 21 March 2014

Penubuhan Madrasah Darul Islah,Pondok Ulu Gemilang

MADRASAH DARUL ISLAH (MDI) merupakan kesinambungan daripada Institusi Pengajian Pondok- (Tradisional) yang tumbuh di tanah air Malaysia. Ditubuhkan pada 2011m, sebuah Institusi Pengajian Islam- Pondok Tradisional di Negeri Sembilan yang pertama berdaftar dengan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Institusi Pengajian Islam ini telah didirikan di atas sebidang tanah (wakaf) seluas 2 ekar. Beralamat di Kg. Ulu Melang,72000, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Di sini, Kuliyyah Pengajian dan Aktiviti Keagamaan disediakan percuma kepada semua lapisan masyarakat setempat dan luar yang beragama Islam serta mengaplikasi disiplin pengajian ilmu Islam terperinci berdasarkan kaedah pengajian Ulama' unggul silam yang diwarisi sejak zaman-berzaman lagi, bermula daripada zaman para sahabat R.A sehinggalah ke hari ini. Tertubuhnya MDI ini bertujuan untuk menyebarkan ilmu Islam di samping bermatlamat sebagai tempat untuk melahirkan pelapis yang benar-benar mampu menjadi penyambung warisan ilmuan Islam.

MDI mengaplikasikan Sistem Pengajian Pondok Tulen dengan menggunakan kitab-kitab turath (turas) dan kaedah-kaedah pengajian yang digunakan oleh Ulama' silam yang muktabar. Ianya meliputi pelbagai bidang ilmu yang terdiri daripada Usuluddin,Feqah,Tasawauf,Tafsir al-Qur'an,Hadith,Nahu,Sorof dan lain-lain. 

Di sini juga, para penuntut didedahkan dengan cara pembelajaran berasaskan pengalaman, realiti dan keteladanan akhlak. Pembelajaran berasaskan pengalaman adalah satu rahsia "menggali" seluas mungkin pengalaman yang dimiliki oleh penuntut, lebih-lebih pengalaman pengajar/ Tuan Guru .

Setelah tertegaknya madrasah yang menjadi gedung pengetahuan Islam ini, matlamat memartabatkan warisan para Anbiya dan Ulama' silam yang muktabar selangkah maju kehadapan untuk meniti arus pembangunan yang menjadi kemudahan dan asas kehidupan dalam menerapkan nilai-nilai murni Islam yang sebenar untuk diamalkan ke dalam cara hidup seharian pelajar pondok khasnya dan kepada masyarakat umum amnya.


Sejenak-Catatan Sejarah Penubuhan


  • Pecah Tanah-Mei 2011
  • Pembinaan Pondok Induk (sebagai surau dan dewan kuliyyah sementara) secara bergotong-royong
  • Pembinaan Pondok Penginapan pelajar ( 10 buah pondo) -Julai 2011
  • Mula beroperasi (solat terawih bulan Ramadhan 1432H)- Ogos 2011
  • Pembinaan Surau Utama bagi aktiviti keagamaan dan dewan kuliyyah (dalam proses pembinaan) -November 2012
  • Mula menerima kemasukan pelajar- Disember 2012

PENGENALAN

KEMUNCULAN SISTEM PONDOK DAN PERKEMBANGANNYA

Pusat pengajian Islam berkonsep pondok tradisional adalah pusat pengajian Islam yang benar-benar mengaplikasikan sistem pengajian Islam secara mendalam dan terperinci kepada penuntutnya.Di sini, para penuntut didedahkan dengan pelbagai rahsia, amalan ibadah serta kaedah-kaedah digunapakai oleh Ulama'-Ulama' silam dalam jerih menuntut ilmu agama.Di pusat pengajian pondok, para penuntut bukan sahaja menggali ilmu Islam, malah dalam masa yang sama mereka dilatih berdikari dari segi menguruskan diri sendiri, pengurusan masa, sekaligus dapat mendisiplinkan diri bagi penuntut di sini. Di Asia Tenggara, terdapat banyak Institusi Pengajian Islam-Pondok (Tradisional) yang menyambung warisan para Anbia menyebarkan ilmu Islam seperti di Indonesia, Thailand dan lain-lain lagi.

Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu mulai muncul pada abad ke-20. Ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke-19 lagi.Sistem ini dipercayai berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.

Sistem ini mula berkembang pesat pada 1909 sehingga Perang Dunia Kedua. Antara tahun 1910M-1045M boleh dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan. Pusat Pengajian Islam (Pondok) pada masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahirnya Ulama'-Ulama' terkenal yang mengharumkan tanah air kita.Ada sesetengah pondok pada masa itu mempunyai penuntut lebih dari 1000 orang.

Hal ini tidak disangkai, dalam konteks masayarakat Melayu tradisi, pengajian pondok merupakan institusi pengajian agama yang amat disanjung tinggi. Ibu bapa menaruh kepercayaan penuh kepada sistem ini kerana pelajar lepasan pondok amat dihormatidan mereka adalah alim ulama' yang akan membimbing masayarakat.

Pada sekitar tahun 1900, Pendidikan pondok telah mendapat persaingan dari sekolah berbentuk sekular yang ditaja oleh British. Sekolah sekular ini telah dibina di tanah air sekitar tahun 1904. British telah menggunakan berbagai cara untuk menarik minat rakyat ketika itu kepada sekolah sekular. Antaranya dengan mengatakan sekolah berbentuk pondok itu adalah primitif kerana mata pelajarannya tidak sama dengan sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun, usaha-usaha British tidak begitu berjaya. Masyarakat Islam ketika itu lebih berminat kepada pengajian agama yang berbentuk pondok.

Walau bagaimanapun pusat pengajian Islam (Pondok) tetap utuh sebagai sebuah institusi pendidikan Islam sehingga sekarang. Terdapat beberapa buah pondok di tanah air yang masih mampu mengekalkan identiti pengajian secara tradisional sehingga ke hari ini.