Friday 21 March 2014

PENGENALAN

KEMUNCULAN SISTEM PONDOK DAN PERKEMBANGANNYA

Pusat pengajian Islam berkonsep pondok tradisional adalah pusat pengajian Islam yang benar-benar mengaplikasikan sistem pengajian Islam secara mendalam dan terperinci kepada penuntutnya.Di sini, para penuntut didedahkan dengan pelbagai rahsia, amalan ibadah serta kaedah-kaedah digunapakai oleh Ulama'-Ulama' silam dalam jerih menuntut ilmu agama.Di pusat pengajian pondok, para penuntut bukan sahaja menggali ilmu Islam, malah dalam masa yang sama mereka dilatih berdikari dari segi menguruskan diri sendiri, pengurusan masa, sekaligus dapat mendisiplinkan diri bagi penuntut di sini. Di Asia Tenggara, terdapat banyak Institusi Pengajian Islam-Pondok (Tradisional) yang menyambung warisan para Anbia menyebarkan ilmu Islam seperti di Indonesia, Thailand dan lain-lain lagi.

Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu mulai muncul pada abad ke-20. Ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke-19 lagi.Sistem ini dipercayai berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.

Sistem ini mula berkembang pesat pada 1909 sehingga Perang Dunia Kedua. Antara tahun 1910M-1045M boleh dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan. Pusat Pengajian Islam (Pondok) pada masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahirnya Ulama'-Ulama' terkenal yang mengharumkan tanah air kita.Ada sesetengah pondok pada masa itu mempunyai penuntut lebih dari 1000 orang.

Hal ini tidak disangkai, dalam konteks masayarakat Melayu tradisi, pengajian pondok merupakan institusi pengajian agama yang amat disanjung tinggi. Ibu bapa menaruh kepercayaan penuh kepada sistem ini kerana pelajar lepasan pondok amat dihormatidan mereka adalah alim ulama' yang akan membimbing masayarakat.

Pada sekitar tahun 1900, Pendidikan pondok telah mendapat persaingan dari sekolah berbentuk sekular yang ditaja oleh British. Sekolah sekular ini telah dibina di tanah air sekitar tahun 1904. British telah menggunakan berbagai cara untuk menarik minat rakyat ketika itu kepada sekolah sekular. Antaranya dengan mengatakan sekolah berbentuk pondok itu adalah primitif kerana mata pelajarannya tidak sama dengan sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun, usaha-usaha British tidak begitu berjaya. Masyarakat Islam ketika itu lebih berminat kepada pengajian agama yang berbentuk pondok.

Walau bagaimanapun pusat pengajian Islam (Pondok) tetap utuh sebagai sebuah institusi pendidikan Islam sehingga sekarang. Terdapat beberapa buah pondok di tanah air yang masih mampu mengekalkan identiti pengajian secara tradisional sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment